KONTROVERSI SEKITAR KELEMAHAN WANITA
Feminis Muslim beranggapan, bukti bahawa Islam adalah agama yang mysagonist termasuklan hadis yang menyatakan wanita adalah lemah dari segi akal dan agama (naqisat al-‘aql wa al-din). Mengenai hadis tersebut, golongan liberal dan feminis sekali lagi cuba melihatnya secara atomistik tanpa melihat kepada mesej hadis tersebut. Bagi kelompok Islamis, kesahihan hadis tersebut tidak dapat dipertikaikan lagi kerana ia diriwayatkan oleh keseluruhan kutub al-sittah (Bukhari, Muslim, Ahmad, Abu Dawud, Ibn Majah dan Tirmizi) yang dipersetujui dan diperakui akan otoritinya. Semuanya hadis tersebut adalah dengan lafaz yang tidak jauh berbeza dan diriwayatkan dengan jalan yang berbeza. Persoalannya, apakah benar hadis Rasulullah tersebut merendahkan martabat wanita? Selengkapnya hadis tersebut bermaksud:
Dari Abu Sa‘id al-Khudri berkata Rasulullah keluar pada pagi hari atau …ke Musalla, beliau melalui sekumpulan wanita dan berkata: “Wahai kaum wanita bersedekahlah! Kerana aku melihat melihat kalian penghuni neraka terbanyak”. Mereka berkata: “mengapa wahai Rasulullah?” Beliau berkata: “kalian banyak mengutuk dan tidak menghargai kebaikan (suami) aku tidak melihat selain dari kalian orang yang kurang akalnya dan agamanya (naqisat ‘aql wa din) yang dapat menghilangkan fikiran akal lelaki yang tegas”. Mereka berkata: “wahai Rasulullah apakah kelemahan agama dan akal kami?”. Beliau bersabda: “Bukankah kesaksian wanita adalah separuh kesaksian lelaki?” mereka berkata: “ya”. Beliau bersabda: “yang demikian itu adalah kerana kelemahan akalnya, bukankah apabila wanita didatangi haid tidak melakukan solat dan puasa”. Mereka berkata: “ya” beliau bersabda: “yang demikian itu adalah kelemahan agamanya”.
Secara dasarnya, kesahihan hadis ini tidak dapat dipertikaikan baik dari segi matan mahupun sanad. Ia diriwayatkan oleh imam Muslim dari Ibn ‘Umar, Abu Said dan Abu Hurairah; oleh Imam Ahmad dan Abu Dawud dari Ibn ‘Umar; dan oleh Tirmizi dari Abu Hurairah. Namun, pertama sekali perlu digarisbawahi bahawa hadis tersebut tidak bersikap negatif terhadap wanita, malahan hakikatnya Rasulullah memberikan jalan keluar bagi kelemahan wanita yang dapat menyebabkan mereka menjadi penghuni neraka. Jalan keluar yang dimaksudkan adalah dengan memperbanyakkan bersedekah, dan dalam riwayat lain pula disebutkan juga memperbanyakkan beristigfar. Di dalam hadis yang lain, ada dijelaskan maksud sedekah, iaitu dengan memperbanyakkan berbuat amal saleh. Dengan adanya jalan keluar ini maka kelemahan wanita tersebut dapat diatasi dan ditutupi. Oleh yang demikian hadis ini sebenarnya bukanlah bermaksud merendahkan taraf wanita, akan tetapi ia sebenarnya merupakan rahmat bagi kaum wanita sendiri.
Perlu dijelaskan, adanya kelemahan ini tidak bermakna kaum wanita adalah inferior dan kaum lelaki adalah superior kerana masing-masing telah diberikan oleh Allah Taala kelebihan dan kelemahan dalam bidang-bidang tertentu. Satu kenyataan yang perlu diingatkan di sini, ketika Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa wanita adalah naqisat al-‘aql wa al-din, beliau tidak bermaksud kaum lelaki lebih sempurna akal dan agamanya. Kesempurnaan akal dan agama tidak bergantung kepada jantina, kerana jantina pada hakikatnya tidak menentukan ketajaman akal dan kesempurnaan agama. Sebaliknya, ketajaman akal dan kesempurnaan agama bergantung kepada sejauh mana masing-masing berusaha. Ini bermakna, dalam usaha ke arah kesempurnaan akal dan agama kaum wanita mempunyai hambatan yang lebih berbanding dengan kaum lelaki, meskipun kedua-duanya adalah berpotensi. Hambatan ini bukan dari segi biologi mahupun fisiologi, akan tetapi dari segi fitrah wanita yang berlainan dari lelaki, di mana wanita akan didatangi hayd yang dalam agama menjadi penghambat melakukan ibadah khusus.
Persoalan seterusnya yang ditimbulkan oleh golongan Feminis adalah, hadis ini dengan jelas telah merendahkan kemampuan akal wanita dengan adanya bukti lain iaitu kesaksian dua wanita adalah sama dengan kesaksian seorang lelaki. Sebagian ulama (konservatif) mengakui bahawa kesaksian wanita lemah kerana kemampuan akal wanita lebih rendah berbanding lelaki. Sebaliknya, golongan Islamis tegas mengatakan walaupun secara zahirnya menunjukkan kelemahan wanita akan tetapi maksud sebenar hadis tidak merendahkan. Ia hanya menjelaskan perbezaan yang sama sekali bukan bermakna diskriminasi.
Kritik Epistemologis dan Metodologis
Argumen yang digunakan oleh feminis Muslim dan Muslim liberal nyata mencerminkan pengaruh worldview Barat. Ini dapat dilihat daripada penilaian tokoh feminis Muslim seperti Amina Wadud yang menganggap bahawa tugas child bearing (mengurus anak) dan domestic housework (tugas rumahtangga) adalah tugas yang hina dan tidak bermakna (demeaning and meaningless). Jelas sekali besarnya pengaruh worldview Barat terhadap pemikiran Feminis Muslim. Dalam perspektif sekular, kemuliaan diukur dari segi material sedangkan aspek spiritual tidak memberi apa-apa makna. Anggapan bahawa peranan wanita adalah tidak bermakna berbanding lelaki adalah penilaian yang materialistik. Sesuatu peranan akan dilihat dan dinilai bermakna hanya dari segi material sedangkan sumbangan yang tidak material dianggap tidak penting dan berfaedah. Tugas wanita mungkin tidak besar dari segi material manakala sumbangan lelaki kelihatan besar dari segi material, akan tetapi, hakikatnya Allah tidak menilai seseorang hambaNya dari segi material, bahkan Allah menilai dan mengambil kira dari segi usaha dan keikhlasan. Oleh kerana itu, bagi seorang Muslim penilaian samada sesuatu perkara itu bermakna atau tidak mestilah dilihat dari kacamata Islam yang holistik, dan bukan dualistik. Kuasa dalam worldview Barat yang materialistik dan sekular adalah simbol kemuliaan dan the end-in-itself. Sedangkan Islam melihat kuasa adalah sebagai alat untuk menjalankan tugas sebagai khalifatuLlah. Hakikatnya, kuasa serta kelebihan yang diberikan adalah beban dan tanggungjawab (amanah) yang mesti diemban dengan mengikuti dan berlandaskan kehendak Allah, bukan kehendak individu mahupun golongan tertentu. Atas semangat inilah Khulafa’ Rashidin meminta untuk diperbetulkan oleh umat mereka apabila telah melakukan sesuatu yang dianggap salah.
Pada hari ini, kesan daripada materialisme dan Darwinisme, kita melihat budaya persaingan semakin pesat dalam masyarakat sekular. Sebenarnya, persaingan bukanlah sesuatu yang positif dan bukan juga negatif pada asalnya, akan tetapi persaingan perlu ditempatkan pada tempat yang sesuai untuk memberikan kesan dan implikasi yang baik. Apabila suatu perkara yang memerlukan kerja sama dan teamwork tetapi sikap masing-masing individu ingin bersaing dan menonjolkan diri sendiri, maka tujuan dan objektif yang dihajatkan tidak akan tercapai. Apabila suami dan isteri hanya bersikap mementingkan diri sendiri, bersikap selfish dan individualistik, tidak memikirkan apa yang terbaik untuk keluarga dan pasangan masing-masing tetapi hanya berfikir apa yang baik untuk diri sendiri, serta tidak berfikir bagaimana untuk menjadi wanita atau lelaki yang diredhai Allah tetapi hanya berfikir tentang apakah yang diperolehinya dengan mengahwini pasangannya; maka keharmonian dan objektif dalam berumahangga tidak akan tercapai. Budaya ‘survival of the fittest’ yang saling mencurigai dan menganggap pihak lain sebagai ancaman terhadap kewujudan diri sendiri bukanlah budaya yang dapat mencipta kedamaian dan keharmonian khususnya dalam rumahtangga, dan umumnya dalam masyarakat.
Kesan paradigma Barat ini lebih jelas terlihat dalam cara berfikir golongan Feminis. Mengenai hijab misalnya, Fatima Mernissi sama sekali tidak melihat sisi positif daripada kewajipan jilbab dalam Islam. Beliau yang hanya melihat hijab ini sebagai satu kaedah masyarakat Islam menindas dan memperhambakan wanita, dengan tanpa segan silu mengatakan:
The veil can be interpreted as a symbol revealing a collective fantacy of the Muslim community to make women disappear, to eliminate them from communal life, to relegate them to an easily controllable terrain, the home, to prevent them moving about, and to highlight their illegal position on male territory by means of a mask.
Kesan pemikiran Barat yang sekular, materialistik dan individualistik ini dapat dilihat dengan jelas dalam setiap argumentasi tokoh-tokoh feminis ini. Sudut pandang seperti ini mengetepikan sama sekali aspek spiritual dan kebaikan yang diperolehi masyarakat dengan melaksanakan kewajipan hijab. Sebaliknya ia dilihat dengan menekankan kepada aspek kuasa dan dominasi yang diperoleh oleh kaum lelaki; walhal perkara seperti ini tidak mempunyai asas dalam ajaran Islam, malah ia dianggap bertentangan dengan hukum Islam itu sendiri.
Pada umumnya, worldview Barat yang materialistik dan sekular adalah antithesis ajaran agama yang menekankan spiritualisme dan keseimbangan hidup manusia. Dalam pandangan sekular Tuhan itu sendiri bersikap patriarkis. Kebencian sekularisme terhadap agama ini dapat difahami dengan melihat sejarah panjang pergelutan di antara gereja dan falsafah. Sekularisme muncul hasil daripada permusuhan panjang antara intelektual Eropah dengan kuasa gereja. Setelah kemerdekaan masyarakat barat dari kuasa despotik gereja, terbinalah moraliti baru yang memberikan kebebasan mutlak bagi manusia Barat. Muhammad Asad menggambarkan pengaruh materialisme ini dengan:
It is visible in the fundamental tendency of both Western Capitalism and Communism, to surrender the spiritual individuality of man and his ethics to the purely material requirements of a collective machinery called “society” in which the individual is but a cog in a wheel.
Dalam pemikiran rasionalisme Barat, penafsiran terhadap teks agama (religious interpretation) adalah bersifat subjektif. Dengan mengikuti metodologi ‘hermeneutic’ dan ‘dekonstruksi’ pasca moden yang bersumberkan tradisi Barat, Feminisme dan Liberalisme berusaha menggoyahkan kepercayaan umat Islam terhadap tradisi Islam, khususnya penafsiran teks-teks suci (al-Qur’an dan Hadis) yang dilakukan oleh ulama-ulama silam mahupun masa kini. Penjelasan terhadap subjektiviti penafsiran agama ini dapat dilihat dari tulisan seorang tokoh feminisme dan liberalisme, Farid Esack:
Every interpreter enters the process of interpretation with some preunderstanding of the questions addressed by the text -even of its silences- and brings with him or her certain conceptions as presuppositions of his or her exegesis…One can proceed to examine and discuss the legitimacy, usefulness and justice of particular pre-understandings in contrast to others. Preunderstanding is a condition of living in history. By itself, preunderstanding has no ethical value; the ethics or absence of them, are located in an acknowledgement or denial of its presence.
Penulis berpendapat anggapan bahawa setiap penafsiran teks agama membawa bersama fahaman asal (pre-understanding) penafsir adalah anggapan yang tidak proporsional. Subjektiviti penafsiran mungkin berlaku secara individual, akan tetapi secara kolektif, subjektiviti ini tidak dapat lagi bertahan. Sekurang-kurangnya inilah makna eksplisit hadis Rasulullah yang bermaksud: “Umatku tidak akan bersepakat atas sesuatu yang palsu”. Ijma’ ulama’ atau ummah akan menghilangkan kepercayaan bahawa penafsiran terhadap sesuatu teks suci itu subjektif dan relatif. Prinsip yang dipegang oleh golongan Feminis adalah penafsiran yang dilakukan ulama’ silam adalah subjektif. Bahkan bagi mereka semua bentuk penafsiran adalah subjektif kerana adanya pra-konsepsi sebelum seseorang memahami teks bersesuaian dengan budaya masyarakat setempat.
Persoalan fundamental yang perlu dijawab adalah, apakah benar penafsiran yang dilakukan oleh ilmuwan Islam semuanya subjektif? Dengan mengangkat dan menghilangkan subjektiviti ini golongan Feminis berharap akan berada sejajar dengan ulama-ulama terdahulu dari segi otoriti. Namun, dalam tradisi Islam ia tidak semudah itu. Dalam tradisi Islam tidak ada dikotomi mutlak antara yang subjektif dan objektif, kerana dikotomi ini hanya wujud dalam tradisi Barat. Dalam proses mengeluarkan hukum serta fatwa, seorang ilmuwan memberikan pendapat tentang sesuatu perkara berkenaan dengan hukum Islam bersandarkan kepada kekuatan hujjah. Ini disebut oleh Imam al-Shafi’i sebagai istidlal (inference). Kekuatan istidlal ini yang akan menentukan samada pendapat seseorang diterima sebagai pendapat yang benar atau tidak benar ataupun shaz (pendapat aneh). Pendapat yang benar akan kemudian disokong oleh ilmuwan-ilmuwan yang lain dan dikatakan pendapat jumhur (majoriti) ataupun disebut ijma’. Pada tahap ini, mereka yang selepasnya tidak boleh dengan sewenang-wenangnya mengatakan pendapat tersebut sebagai pendapat yang subjektif.
Hakikatnya, ijtihad ulama’ boleh mencapai kebenaran apabila ijtihad tersebut kemudiannya diperakui, samada oleh ulama’ yang lain secara kolektif mahupun oleh umat Islam keseluruhan. Rasulullah s.a.w. sendiri membayangkan kemungkinan ijtihad seseorang itu mencapai kebenaran atau kesalahan, apabila Baginda mengatakan seseorang yang berijtihad lalu mencapai kebenaran akan mendapat dua pahala, dan yang salah tetap akan mendapat satu pahala. Kekuatan sesuatu pendapat dapat diukur apabila ia diterima sebagai pendapat majoriti atau ijma’. Justeru, apabila pendapat ulama’ diperkuat dengan kemantapan alasan dan istidlal sehingga dapat meyakinkan ulama lain dan masyarakat Islam pada umumnya maka pendapat tersebut adalah pendapat yang diyakini kebenarannya.
Dari aspek metodologi, sumber-sumber hukum yang diakui di dalam tradisi Islam iaitu al-Qur’an, Sunnah, Ijma’ dan Qiyas adalah problematik bagi golongan Feminis. Terdapat usaha di kalangan mereka untuk membezakan di antara al-Qur’an dan Sunnah, dari segi otoriti dan kekuatan. Sebahagian mereka hanya berpegang kepada nas-nas al-Qur’an sahaja tanpa melihat atau merujuk langsung kepada hadis. Manakala sebahagian yang lain pula cuba mempertikaikan kesahihan Hadis yang telah diperakui oleh imam-imam Hadis.
Bahkan, Feminis Muslim juga tidak mengakui otoriti ijma’. Ini jelas dalam kes Amina Wadud baru-baru ini yang buat pertama kali dalam sejarah Islam telah mencetuskan kontroversi dengan menjadi imam dan khatib bagi solat jumaat, yang mana makmumnya terdiri daripada lelaki dan perempuan. Dalam hal ini Amina Wadud berpegang kepada hadis Ummu Waraqah yang gagal membuktikan wanita dibolehkan menjadi imam kepada jamaah yang ada lelaki, apatah lagi untuk menjadi imam bagi solat jumaat. Beliau tidak menghiraukan sama sekali kesepakatan ulama (ijma‘) tentang tidak sahnya lelaki berimamkan wanita dalam solat berjamaah. Dengan membelakangkan ijma‘ yang ternyata bersandarkan kepada nas-nas al-Qur’an dan Sunnah, secara tidak langsung golongan Feminis menganggap pandangan mereka sendiri adalah lebih berotoriti berbanding dengan pandangan ulama’-ulama’ terdahulu, ini kerana dari para ulama’ sejak dari zaman imam-imam mazhab sampailah sekarang bersepakat bahawa wanita dilarang menjadi imam solat bagi kaum lelaki.
Terlepas daripada persoalan tentang kesahihan hadis ini, hadis tersebut hanya menjelaskan bahawa Rasulullah s.a.w. memberikan keizinan bagi Ummu Waraqah menjadi Imam bagi ahli keluarganya iaitu dua orang hamba sahaya (lelaki dan perempuan) dan seorang mu’azzin/ bilal. Dalam hadis tersebut dinyatakan bahawa mu’azzin yang dimaksudkan adalah orang yang benar-benar tua. Semua ini menjelaskan bahawa mereka tidak mampu menjadi imam kecuali Umm Waraqah sendiri. Ini ditambah lagi dengan keterangan hadis al-Darqutni yang menggantikan ahl dariha menjadi nisa’ ahl dariha (ahli perempuan rumahnya) sebagai makmum. Hadis ini tidak bertentangan dengan kesepakatan ulama yang tidak membenarkan wanita menjadi Imam kepada kaum lelaki selagi masih ada yang mahir al-Qur’an dikalangan mereka. Oleh itu jelaslah bahawa kaum Feminis tidak dapat memberikan justifikasi bagi pandangan mereka daripada tradisi Islam.
Feminis menganggap hukum-hukum yang dijelaskan secara terperinci, seperti wudhuk dan talak tidak memberi ruang kepada pembaca untuk menafsirkannya mengikut pre-understanding. Namun, sesuatu hukum yang tidak dijelaskan dengan terperinci memberi ruang yang luas kepada manusia untuk melaksanakannya sesuai dengan kefahamannya dan tuntutan peredaran zaman. Oleh itu dengan menyamaratakan semua pemahaman terhadap teks adalah berdasarkan pre-understanding dan budaya adalah tidak berasas sama sekali. Fakta ini diperkuat lagi dengan peranan Islam sebagai pembentuk worldview manusia Muslim dan bukan Islam yang dibentuk oleh pemahaman sesebuah masyarakat. Semua pandangan ini tercetus daripada premis Islam Liberal yang diperkenalkan oleh Nasr Hamid Abu Zayd bahawa al-Qur’an adalah muntaj thaqafi (produk budaya). Isu ini telah membangkitkan perdebatan yang cukup hangat dan panjang, dan tiada kesempatan untuk dibahas di sini. Apa yang jelas adalah konsep tersebut (produk budaya) pada hakikatnya selari dengan anggapan pemikir-pemikir Barat bahawa agama adalah produk budaya dan ciptaan manusia (human invention).
Penutup
Daripada perbincangan tentang pemikiran Feminis Muslim dan pandangan Islamis terhadap isu-isu yang dibangkitkan, dapat disimpulkan bahawa Feminisime Islam, sebagaimana Liberalisme Islam, sebenarnya sama sekali asing bagi Islam. Seperti halnya Liberalisme Islam yang merupakan induk Feminisme Islam, Feminisme Islam tidak dibina dan tiada di dalam paradigma Islam. Bahkan asas dan dasar epistemologi dan metodologi yang digunakan adalah diambil serta diadaptasi dari paradigma Barat. Ini dapat dibuktikan, seperti yang telah kita lihat, dengan fakta bahawa pengaruh sekularisme, materialisme, pasca modenisme dan humanisme jelas tampak dalam perdebatan mereka tentang kesetaraan gender.
Dengan kata lain, disedari mahupun tidak, Feminis Muslim telah menggunakan paradigma pemikiran Barat untuk melahirkan idea-idea mereka. Kenyataan ini mungkin mendapat bantahan dari kalangan Feminis sendiri kerana mereka telah menggunakan teks -teks agama untuk menjustifikasikan setiap idea yang dilontarkan. Akan tetapi sepertimana yang telah kita lihat, penggunaan teks-teks agama tersebut sangat selektif dan seringkali out of context. Telah wujud satu pemikiran yang ingin diperjuangkan dan mendasari cara berfikir golongan ini; kemudian, teks-teks digunakan sebagai alat untuk mengabsahkan (validating) pendapat mereka. Ini merupakan suatu hal yang menggambarkan ketidakjujuran, ketidaktelusan dan wujudnya niat tersembunyi disebalik penggunaan teks-teks tersebut.
Pendekatan dan metodologi yang digunakan oleh Feminis sangat berbeza dengan golongan Islamis. Meskipun dalam banyak hal mereka berbeza pandangan dengan golongan konservatif, namun golongan ini tetap mempertahankan pandangan Islam berkaitan dengan wanita asalkan mempunyai dasar yang kuat, baik dari nas al-Qur’an mahupun Sunnah. Dari segi metodologi, golongan ini berpendapat ijtihad ulama’ silam khususnya yang berbentuk pandangan peribadi tidak semestinya diterima pada hari ini. Sesuai dengan tuntutan Islam, ilmuwan pada hari ini perlu sentiasa berijtihad dalam perkara-perkara yang dibenarkan oleh Syara‘. Kebekuan dan kecenderungan ulama’ untuk taqlid terhadap segala keputusan ulama’ silam menyebabkan agama Islam dipandang tidak sesuai dan ketinggalan zaman.
Dan dalam konteks tajuk kertas kerja ini, kesan daripada kebekuan intelektual inilah yang menyebabkan timbulnya salah faham bahawa tradisi Islam, samada nas al-Qur’an, Hadis mahupun kitab-kitab fiqh klasik dan baru, adalah bias gender dan misogynist. Pemahaman berdasarkan worldview Islam adalah bahawa Islam memberikan persamaan di antara lelaki dan wanita, hanya ada sedikit keterbatasan dan perbezaan yang digariskan oleh Islam untuk wanita. Perbezaan dari segi peranan dan hak yang Allah berikan kepada keduanya sama sekali tidak bermakna superioriti ataupun inferioriti bagi mana-mana pihak, akan tetapi ia hanyalah untuk menjaga fitrah dan kecenderungan masing-masing.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar